MENU

Menyingkap Sejarah

Setiap kampung, pekan dan bandar mempunyai asal-usul dan kisah silam yang unik. Begitu juga dengan nama dan asal-usul Nilai yang diletakkan di bawah Majlis Daerah Seremban dan kini dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Nilai.

Serba Ringkas Asal Usul Pembukaan

Nilai mempunyai asal-usul dan sejarahnya yang tersendiri. Mengikut sejarahnya, Nilai dahulunya diletakkan di bawah luak Sungai Ujong yang ditadbir oleh waris di Darat yang ditadbir atau waris di Air. Di bawah Dato' Johan daripada waris di Darat terdapat tiga Dato' Lingkungan yang mengetuai tiga corak suku Batu hampar yang tertumpu di beberapa buah kampung. Keturunan lain termasuk dari Bentan yang tidak berdasarkan suku, tetapi mengikut kampung tempat tinggal masing-masing. Sebagai Dato' Lembaga waris Perut Hulu, Waris Telaga Undang Dato' Johan bukanlah titian balai kerana Dato' Andika adalah lebih kanan. Bagaimanapun kuasa yang diberikan oleh Dato' Kelana Putera bagi mengutip cukai sehingga tahun 1894 menunjukkan kedudukan Dato' Johan di sisi balai Undang adalah penting.

Dato' Johan yang ke-3 iaitu Dato' Maamor adalah Dato' Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong ke-8. Sewaktu dilantik menyandang Pesaka Dato' Kelana Putera pun, Dato' Maamor masih belum dewasa. Ketika itu Pesaka Dato' Kelana Putera kosong sejak tahun 1887 apabila Dato' Mohd Yufof, Undang Luak Sungai Ujong dipecat. Disebabkan waris Perut Hulu tidak mempunyai anak lelaki yang yang boleh menyandang pesaka, maka anak-anak buah bersepakat melantik Dato' Maamor yang masih kanak-kanak itu menyandang pesaka Dato' Johan dan kemudiannya bergelar Dato' Kelana.

Wilayah kekuasaan Dato' Johan meliputi juga mukim Lenggeng yang termasuk didalamnya Kampung Mendum, Kampung Lenggeng, Kampung Sungai Jai, Kampung Hulu Beranang dan Kampung Dacing. Tiap-tiap kampung itu mempunyai ketua adat masing-masing yang dipanggil 'Tua Waris'. Terdapat juga suku orang Minangkabau yang bertumpu ke luak-luak lain di Negeri Sembilan sebelum mereka menetap di Kampung Lenggeng. Bagi menjamin kebajikan mereka di luak Sungai Ujong maka tiap-tiap suku itu diberi 'Tua Waris' bagi menjadi wakil mereka dalam urusan adat dan pentadbiran di Balai Undang Luak.
 

Sumber Rujukan:
Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram

Oleh:
Yg. Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris, Abdul Muluk Daud (Dharmala N.S)