MENU
TAMAN AWAM NILAI

Taman Awam Nilai dalam kawasan Majlis Perbandaran Nilai adalah unik kerana dihiasi mural enam Perdana Menteri Malaysia. Mural yang diperbuat daripada batu granit, turut diselitkan maklumat latar belakang pemimpin negara bagi pengetahuan orang ramai yang bertandang. Taman Awam Nilai juga dikenali sebagai laman dwifungsi berikutan peranannya sebagai tempat beriadah, mendapatkan ketenangan menerusi susunan pepohon dan paling penting, mendidik generasi muda mengenai pemimpin negara.

Taman ini dibangunkan Vet-Fine (M) Sdn Bhd bukan saja menjanjikan keselesaan kepada pengunjung yang ingin bersantai bersama keluarga dan beriadah tetapi menawarkan keunikan tersendiri dengan terbinanya mural memaparkan wajah dan latar belakang enam Perdana Menteri Malaysia.

Taman Awam ini seluas empat hektar adalah taman milik Majlis Perbandaran Nilai (MPN). Ia memberikan kemudahan kepada penduduk setempat untuk bersosial dengan menempatkan pelbagai kemudahan termasuk trek joging sepanjang satu kilometer, taman permainan kanak-kanak, wakaf, peralatan sukan regangan, gelanggang bola keranjang dan sepak takraw serta padang bola.

Kemudahan ampiteater juga dibina untuk kemudahan mengadakan persembahan seni dan budaya memandangkan ramai penuntut universiti menginap di kawasan sekitar, selain menganjurkan aktiviti kekeluargaan dan mengadakan barbeku. Taman yang mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan itu turut mengekalkan sebahagian besar pokok asal yang tumbuh sebelum ia dimajukan selaras dengan hasrat kerajaan menekankan konsep teknologi hijau.

 
     
 Mural Perdana Menteri
Ampiteater
 
 
 Peralatan Sukan Regangan
Gelanggang Permainan
 
 
Pondok Menunggu Bas
Taman Permainan Kanak - Kanak
 
 
 
Kemaskini Terakhir: Selasa, 12 Disember 2017 - 4:20pm